Pengenalan

Unit Program Eksekutif (UPE) adalah di bawah naungan Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP). Pentadbiran Unit ini diketuai oleh seorang ketua yang dilantik oleh Dekan FEP dan bertanggungjawab terus kepada Dekan. Beliau dibantu oleh empat orang penyelaras program yang juga dilantik oleh Dekan iaitu Penyelaras Bacelor Ekonomi, Penyelaras Bacelor Pentadbiran Perniagaan, Penyelaras Bacelor Perakaunan dan Penyelaras Bacelor Pentadbiran perniagaan (Hujung Minggu).

Seterusnya ketua dibantu oleh beberapa orang pegawai tadbir yang bertanggungjawab dengan urusan-urusan Kewangan, Akademik, Hal-Ehwal Pelajar, Teknologi Maklumat dan Perhubungan. Kakitangan-kakitangan sokongan lain terdiri daripada penolong akauntan, pembantu tadbir (perkeranian dan operasi) dan beberapa orang pembantu am pentadbiran.

Bagi memastikan UPE berfungsi, beberapa jawatankuasa ditubuhkan yang melibatkan keseluruhan pegawai dan kakitangan Unit ini untuk mengendalikan program bacelor untuk eksekutif dengan baik dan lancar. Kelicinan pentadbiran UPE banyak bergantung kepada semangat mesyuarah di kalangan warga Unit yang turut sama mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan bagi memastikan aktiviti unit berjalan lancar..

Sungguhpun kecil dari segi saiz organisasi, namun UPE memainkan peranan besar sebagai satu entiti pendidikan di Fakulti ini yang turut sama menjalankan segala aktivitinya sama sebagaimana sebuah pengurusan Universiti menawarkan program-program akademik untuk masyarakat. Secara ringkas aktiviti yang dijalankan di Unit ini bermula daripada proses pengiklanan program akademik yang akan ditawarkan, proses pemilihan dan kemasukan pelajar, pendaftaran, kutipan yuran dan kewangan pelajar, keputusan peperiksaan dan penyimpanan rekod akademik, penyertaan Majlis Konvokesyen UPM dan diakhiri dengan penyerahan skrol ijazah setiap graduan melalui Unit ini juga.