Maklumat Korporat

LATAR BELAKANG UNIT PROGRAM EKSEKUTIF (UPE), FEP

SEJARAH RINGKAS

UPE adalah sebuah unit yang menyelaraskan penawaran program bacelor secara separuh masa. Unit ini diketuai oleh seorang Ketua Unit yang juga merupakan seorang pegawai akademik yang dilantik oleh Dekan. Beliau dibantu oleh Penyelaras Program yang juga dilantik oleh Dekan.

Program Ijazah untuk Eksekutif mula ditawarkan sejak tahun 1997. Program ini ditawarkan bertujuan untuk membuka memberi peluang kepada golongan bekerja mengikuti program akademik ke peringkat lebih tinggi sejajar dengan perkembangan semasa.

UPE juga menawarkan tiga program di peringkat bacelor iaitu Bacelor Pentadbiran Perniagaan, Bacelor Perakaunan dan Bacelor Ekonomi.

 

OBJEKTIF PROGRAM

Secara umum, Program Ijazah untuk Eksekutif bertujuan melengkapkan pelajar-pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kefahaman mengenai isu-isu ekonomi, pengurusan, kewangan, perakaunan dan perniagaan semasa. Secara khusus, program ini bertujuan:

  • Melengkapkan pelajar dengan teori ekonomi fundamental sebagai asas untuk memahami isu dan permasalahan ekonomi;
  • Menyediakan pelajar dengan teori dan konsep pengurusan sebagai landasan untuk membantu pembentukan keputusan perniagaan dan pengurusan;
  • Mengemaskinikan pengetahuan pelajar dengan konsep kewangan, perdagangan, perakaunan dan pemasaran yang terkini; dan
  • Menyediakan pelajar kaedah analisis yang terbaru (terutama kaedah yang menggunakan komputer) untuk membantu dalam pembuatan keputusan.

 

PENDEKATAN PEMBELAJARAN

Pelajar yang berpengalaman luas dalam perniagaan dan pengurusan dianggap mempunyai latarbelakang yang unik dan berharga. Pengalaman mereka, berserta pendedahan terhadap teori dan konsep ekonomi dan pengurusan, akan memberi mereka pemahaman subjek akademik yang lebih mendalam dan matang.  Maka, strategi dan kaedah pengajaran program ini lebih menekankan pada perbincangan interaktif, pembinaan kumpulan, kajian kes, latihan simulasi dan penyelesaian masalah.

Penekanan kepada proses pembelajaran akan menjurus kepada aplikasi konsep dan teori yang dikaitkan dengan pengalaman sebenar pelajar dalam perniagaan dan pengurusan. Seterusnya, gandingan khidmat nasihat daripada pensyarah dan penunjukajar yang yang amat berpengalaman akan lebih memantapkan lagi pembelajaran program ini.

Program pembelajaran sebegini akan dapat mempertingkatkan lagi pengetahuan dan pemahaman para eksekutif dalam menangani cabaran globalisasi dan perubahan perniagaan dan pengurusan dengan lebih bijak, sistematik dan profesional untuk manfaat diri, masyarakat dan negara.

 

SISTEM AKADEMIK

Program Eksekutif FEP mengunakan sistem trimester iaitu merangkumi tiga (3) semester dalam satu (1) tahun akademik. Tempoh bagi setiap tahun pengajian adalah seperti berikut:

Trimester              Tempoh

I                           Julai - Oktober

II                          November - Februari

III                         Mac - Jun

Setiap trimester mengandungi 17 minggu iaitu 14 minggu untuk kuliah, satu (1) minggu untuk peperiksaan akhir dan dua (2) atau tiga (3) minggu cuti di antara trimester.Kuliah diadakan pada waktu petang bermula dari jam 6.30 petang hingga 9.30 malam sebanyak 3 - 4 kali seminggu; iaitu dari hari Isnin hingga Jumaat untuk semua program. Walau bagaimanapun, kuliah untuk program Bacelor Pentadbiran Perniagaan (BPP) mod hujung minggu diadakan pada setiap hari Sabtu (2.00 petang- 9.00 malam)  dan Ahad (9.00 pagi - 9.00 malam). Bagi sebahagian kursus, tutorial diadakan selepas waktu kuliah. Semua kuliah dikendalikan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM Serdang, Selangor.

 

SYARAT KEMASUKAN

Permohonan untuk program ijazah untuk eksekutif mesti memenuhi kelayakan berikut:

1. Mempunyai pengalaman bekerja tidak kurang dari 2 tahun, DAN

2. Lulus SPM dengan kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu serta lulus dalam Bahasa Inggeris dan Matematik (kepujian Matematik untuk Bacelor Perakaunan), DAN

3. Telah menduduki peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) (Telah mempunyai keputusan Ujian MUET).

4. Mempunyai salah satu kelayakan akademik yang berikut:

  • Lulus STPM dengan sekurang-kurangnya gred C dalam mata pelajaran Pengajian Am/Kertas Am; gred C dalam satu mata lain dan gred C+ dalam mana-mana satu mata pelajaran berikut; Matematik, Ekonomi, Geografi, Perakaunan, Pengajian Perniagaan, ATAU
  • Mempunyai diploma dalam bidang yang sesuai atau kelayakan lain yang diiktiraf oleh Senat UPM, ATAU
  • Kelulusan Matrikulasi yang diiktiraf oleh UPM.