Bacelor Perakaunan
Written by Administrator   
Monday, 30 August 2010 02:04

LATAR BELAKANG

Program Bacelor Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan mula ditawarkan pada tahun 1985.  Kurikulum program ini digubal setelah mengambilkira ciri-ciri penting dalam pembentukan graduan yang sesuai dan memenuhi keperluan pelbagai sektor. Ini termasuklah sektor perakaunan, perniagaan, perbankan dan perkhidmatan awam. Untuk mencapai matlamat ini, kurikulum program telah digubal dengan menggabungkan bidang-bidang pengkhususan yang berkaitan pelbagai sektor tersebut. Program Bacelor Perakaunan merupakan program profesional yang diiktiraf oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Kerajaan Malaysia di bawah Jadual 1, Akta Perakaunan 1967.

 

OBJEKTIF PROGRAM

Objektif umum program Bacelor Perakaunan adalah untuk melahirkan tenaga terlatih dan mahir dalam bidang perakaunan khususnya melahirkan akauntan bertauliah yang diiktiraf oleh Malaysian Institute of Accountants (MIA) dan badan profesional perakaunan yang lain.

 

PELUANG PEKERJAAN

Peluang pekerjaan bagi graduan perakaunan merangkumi pelbagai bidang berikut:-

1. Bidang profesional sebagai akauntan bertauliah, juruaudit, penasihat percukaian, perunding pengurusan, setiausaha syarikat dan sebagainya.

2. Sektor perindustrian dan perdagangan dalam bidang kewangan perbadanan dan perbankan serta institusi kewangan lain yang

memerlukan kepakaran perakaunan dan kewangan.

3. Sektor awam  di jabatan kerajaan dan badan berkanun.

 

TEMPOH PENGAJIAN

Program ini mengambil masa selama empat tahun.

 

KURIKULUM PENGAJIAN

Kurikulum Bacelor Perakaunan mengandungi empat (4) komponen iaitu kursus universiti, teras, elektif dan ko-kurikulum. Jumlah jam kredit serta peratusan bagi setiap komponen adalah seperti berikut:

                                   

Komponen Jam Kredit (%)
Kursus Universiti   18 12.7
Kursus Teras 119 83.8
Kursus Elektif  2.1
Ko-Kurikulum  2 1.4
Jumlah 142 100.0

 

LATIHAN INDUSTRI

Latihan industri merupakan salah satu komponen daripada kurikulum program Bacelor Perakaunan. Tujuan latihan diadakan adalah untuk mendedahkan pelajar kepada amalan perakaunan semasa dan juga untuk membolehkan pelajar mengaplikasikan segala ilmu yang diperoleh menerusi program ini. Pengecualian TIDAK diberikan kepada mana-mana pelajar walaupun mereka mempunyai pengalaman kerja. Hal ini disebabkan pengalaman yang akan diperolehi adalah berbeza dengan pengalaman yang mereka lalui sebelum mengikuti program Bacelor Perakaunan.

Latihan industri akan diikuti oleh semua pelajar mulai trimester 9 pada tahun tiga pengajian selama 6 bulan. Pelajar digalakkan menjalani latihan industri di firma akauntan awam untuk membolehkan mereka memperolehi pengetahuan dan pengalaman yang akan memantapkan lagi pemikiran untuk mengikuti kursus-kursus pada dua trimester yang terakhir. Pengalaman yang sedemikian juga sangat berguna dalam apa jua kerjaya perakaunan yang mereka pilih selepas bergraduat nanti. Walau bagaimanapun, pelajar dibenarkan menjalani latihan industri di firma lain selagi ia berkaitan dengan bidang perakaunan atau kewangan.

Memandangkan pelajar eksekutif adalah terdiri daripada mereka yang bekerja, mereka perlu mendapatkan cuti belajar atau pelepasan daripada majikan mereka, bagi membolehkan mereka menjalani latihan industri di firma yang ditetapkan oleh Unit Program Eksekutif, FEP. Bagi pelajar yang tidak mendapat cuti belajar atau pelepasan daripada majikan, mereka dibenarkan menjalani latihan industri di bahagian yang berkaitan perakaunan atau kewangan di organisasi mereka bekerja. Walau bagaimanapun, penyeliaan dan pemantauan yang rapi akan dijalankan oleh UPE untuk memastikan matlamat latihan industri program Bacelor Perakaunan tercapai.
Last Updated on Thursday, 28 April 2011 07:43